Azmin gagal batal saman pengundi Gombak - Utusan Malaysia

Azmin gagal batal saman pengundi Gombak

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukan oleh 10 pengundi kawasan itu yang mendakwa beliau menipu dan melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai Ahli Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan peguam, N. Yohendra yang mewakili pengundi-pengundi tersebut selepas tamat prosiding secara Zoom di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir di sini hari ini.

Peguam terbabit turut memaklumkan, pada prosiding sama, mahkamah menolak permohonan 10 pegundi gombak itu untuk memadamkan sebahagian pembelaan Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Yohendra, Hakim Akhtar memutuskan untuk menolak kedua permohonan tersebut atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Dengan keputusan mahkamah hari ini, kes saman itu ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari bermula 7 Jun 2022. Pengurusan kes pula ditetapkan pada 7 April 2022.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lepas.

Pernyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 37 dan 65 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya