PUTRAJAYA: Umat Islam di Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya berpeluang menentukan kedudukan kiblat pada Selasa ini dengan berpandukan arah matahari terbenam.
Menurut Balai Cerap Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor, pada hari tersebut, matahari akan terbenam pada titik maksimum 23.5 darjah Utara iaitu bertepatan dengan arah kiblat.
“Sebenarnya, sepanjang bulan ini bermula pukul 6.45 petang, pandanglah ke arah ufuk Barat dan ketika itu matahari berada tepat menuju ke arah Kaabah,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kaedah berkenaan, umat Islam boleh melakukan penentuan arah kiblat dengan melihat bayang-bayang objek yang berdiri tegak dan pegun seperti tiang lampu.
Justeru jelas agensi tersebut, hujung bayangan gelap dan menghala ke arah lokasi matahari terbenam itu akan menunjukkan kedudukan Kaabah yang sebenar.
Balai berkenaan turut memaklumkan bahawa pada kelazimannya arah kiblat bagi seluruh Selangor termasuk dua Wilayah Persekutuan berpaksikan kepada azimut 292 darjah.
“Kedudukan matahari secara kebiasaannya akan terbit dan terbenam di arah berbeza-beza sepanjang tahun,” katanya merujuk keadaan orbit bumi itu yang sentiasa mengelilingi matahari.
Umat Islam di Malaysia juga boleh membuat semakan tepat arah kiblat dengan cara melihat bayang matahari ketika fenomena Istiwa A’zam yang berlaku pada pukul 5.28 petang, 16 Julai lalu.
Peristiwa tersebut memang akan tetap berlaku sebanyak dua kali dalam setahun pada masa yang sama dengan satu lagi ditetapkan ahli falak syarie ketika pukul 5.16 petang pada 28 Mei.
Ketika itu, matahari memang berada tepat di atas titik zenith Kaabah dan kejadian unik ini turut dijadikan panduan umat Islam di seluruh dunia sejak sekian lama bagi penentuan arah kiblat.