Aprena usahakan zuriat ketika PKP - Utusan Malaysia

Aprena usahakan zuriat ketika PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon Aprena Manrose, 29, melihat pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sebagai satu peluang untuk dia dan suami, Mohd Afiq Hazman, meneruskan hajat untuk berusaha mendapatkan cahaya mata setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut Aprena, ini adalah waktu yang ideal untuk dia dan suami berusaha ke arah itu memandangkan dirinya juga tidak sibuk dengan aktiviti dan jadual seni yang padat berbanding sebelum ini.

“Kalau saya sibuk dengan kerja, sibuk di set penggambaran, memang tak akan fikir sangat tentang zuriat. Tapi kali ini, memandangkan ini adalah waktu terbaik, saya dan suami sedang mencuba mendapatkan rawatan perubatan yang sesuai di hospital.

“Rawatan apa itu belum lagi saya boleh kongsikan. Kalau dah berjaya, baru saya akan beritahu,”katanya.

Aprena berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media secara virtual bagi mempromosikan drama Hatimu Sedingin Salju yang diadakan pada hari ini.

Selain itu, menurut pelakon ini, memandangkan dia dan suami sedang dalam percubaan untuk mendapatkan zuriat, ia juga menjadi penyebab kedua-dua mereka sepakat dengan keputusan untuk menangguhkan urusan pengambilan vaksin Covid-19.

“Saya ada baca juga mengenai hal itu yang mana, jika ada pasangan yang sedang merancang untuk mendapatkan cahaya mata boleh tangguhkan urusan penerimaan vaksin. Jadi saya dan suami buat keputusan untuk tangguh.

“Ia juga adalah atas nasihat doktor kerana kami berdua dalam proses rawatan tersebut. Kami juga berulang alik ke Shah Alam sepanjang proses rawatan dan ia adalah dibenarkan semasa tempoh PKP ini, “katanya.

Dalam pada itu, Aprena mengaku usaha itu dilakukan selepas tertekan apabila seringkali ditanya mengenai soal cahaya mata sebelum ini.

“Maklumlah sudah empat tahun kahwin tapi tak ada anak lagi,mestilah orang bertanya. Belum rezeki, tapi saya percaya pada percaturan Allah SWT. Rawatan ini adalah antara inisiatif saya untuk mendapatkan zuriat.

“Doakan saya agar semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan urusan ya,”katanya.

Aprena yang juga anak kepada penyanyi dangdut terkenal era 90-an, Iwan ini mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Afiq pada 12 November 2016.

Dia juga merupakan adik kepada pelakon Octavia Manrose serta sepupu kepada pelakon terkenal, Uqasha dan Nelydia Senrose.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya