PETALING JAYA : ‘Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat jika fungsinya diambil Kabinet?’
Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
Soal Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, kenyataan berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung autoriti sebenar untuk menasihati Seri Paduka.
Beliau menjelaskan, seperti sedia maklum di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa tugas menasihatkan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kepada Jemaah Menteri selaras Perkara 40(1) yang bermaksud Seri Paduka bertindak atas nasihat.
“Pada 12 Januari 2021, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan darurat berkuat kuasa di negara kita. Hal ini setelah Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan nasihat Jemaah Menteri disampaikan Perdana Menteri dan sesuai Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan Proklamasi Darurat. Seterusnya 14 Januari, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa.
“Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ini diperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan ini, kerajaan membuat pengecualian untuk jawatankuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihatkan ini adalah Jemaah Menteri
“Jawatan kuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya. Sehingga sekarang ia masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Takiyuddin dilaporkan berkata, persoalan mengenai sama ada darurat tamat 1 Ogos ini atau sebaliknya bakal dibuat atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong tidak harus timbul.
Jelasnya, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan media sebagai berkata, sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuat kuasa diangkat, maka tiada yang dapat menghalang pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
Noor Hisham sebelum ini berkata bahawa kini hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos ini perlu diteruskan atau tidak.
Malah Ahli Parlimen Kota Bahru tersebut dalam Twitter dilaporkan menafikan bahawa Kabinet ‘mengubah tiang gol’ berhubung tempoh darurat dengan menjelaskan Kabinet hanya memperbetulkan peraturan untuk membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.
Takiyuddin memberi respon terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengkritik kenyataannya bahawa Kabinet akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai sama ada darurat dilanjutkan atau tidak.
Dalam pada itu, Saifuddin mempersoalkan kenyataan Takiyuddin itu dan telah menimbulkan pelbagai kekeliruan mengenai fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat yang akan ditamat atau disambung.
“Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri?
“Selain itu, apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun kuasa Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?
“Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?” soal beliau.
Kata beliau lagi, sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau berhak mendapatkan penjelasan segera Takiyuddin untuk membantunya membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan beliau dalam jawatan kuasa itu. – UTUSAN ONLINE