PETALING JAYA: Ucapan penggulungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau masih bimbang dengan isu pengkhianatan, selepas lebih setahun berlakunya peristiwa Langkah Sheraton.
Ketika menyampaikan ucapan tersebut pada Kongres Nasional 2020, beliau mengakui masih terdapat unsur-unsur pengkhianatan seperti yang disuarakan oleh beberapa ahli parti.
Katanya, perkara itu terus berlaku kerana ketaksuban segelintir ahli terhadap seseorang pemimpin dalam parti.
“Kelemahan kita ini adalah kadang-kadang kita terlalu taksub dengan ketua, sama ada saya atau orang lain.
“Oleh yang demikian, fikiran kita tidak lagi taat kepada jemaah dan kepimpinan tetapi kita izinkan wujudnya kelompok-kelompok,” katanya di sini hari ini.
Katanya, wujudnya pemikiran sedemikian sedikit sebanyak akan mengancam kestabilan parti.
“Oleh kerana kita ada pengalaman lalu orang khianat, kita tak boleh kemudian mengambil keputusan bahawa saya sahaja tidak khianat, orang lain ada kemungkinan khianat. Akhirnya parti ini berpecah.
“Saya tidak boleh tentukan orang bagi kata dua sama ada kamu terima orang itu atau kami tolak kamu dalam parti atau kamu mesti tolak orang itu baru kami menyertai parti. Ini bukan jemaah, yang menentukan akhirnya adalah ahli,” katanya.
Namun, beliau enggan mengambil keputusan drastik terhadap ahli-ahli yang masih cenderung untuk mengkhianati parti.
“Saya lihat masih ada sedikit-sedikit disuarakan wakil kita tentang kemungkinan pola-pola yang sedemikian berlaku.
“Tetapi orang yang khianat dahulu, katalah sebahagiannya bersekongkol dengan kartel, kita harus beri ruang untuk bersama tanpa prasangka melainkan mereka itu nyata dan terbukti melanggar peraturan,” katanya.
Bagaimanapun Anwar menegaskan, meskipun masih ada ahli-ahli yang cenderung mengkhianati parti, beliau mengingatkan mereka supaya kembali ke landasan asal parti.
“Mereka juga harus ingat sejarah lampau itu menimbulkan sedikit kerisauan, melainkan mereka buat sesuatu dalam langkah, dalam tindakan menunjukkan bahawa yang berlalu itu sudah dan kita maju terus. Sepanjang setahun ini, itu desakan saya kerana kita tidak mahu parti mengambil sikap terlalu keras terhadap orang mahu menyertai parti dan perkuatkan parti.
“Jadi keputusannya adalah memperkukuh jemaah yang taat kepada parti dan prinsip perjuangan harus dirangkul. Bukan keputusan ketua, bukan presiden atau pimpinan untuk menolak atau menyangkal, apatah lagi kalau dia ikut arahan kelompok lain, orang lain yang menentukan atau kelompok dalam parti menentukan. Tidak, ia mesti keputusan menghormati jemaah,” katanya.
Justeru, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyarankan, jika ada ahli yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti, ia boleh dilakukan menerusi pemilihan parti.
“Kita ada kuasa dan ruang untuk menukar, baik presiden dan lain-lain dalam pimpinan semasa pemilihan parti akan datang.
“Tetapi sementara yang ada, saudara bertanggungjawab untuk perkuatkan kekuatan kita, dan bawa perubahan sebaiknya,” katanya.