GEORGETOWN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) digesa mengaktifkan semula Majlis Muafakatan Melayu Malaysia (4M) sebagai langkah mewujudkan sebuah organisasi dialog di negara ini.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yusof Latiff berkata, 4M dilahirkan hasil Kongres Permuafakatan Melayu yang berlangsung pada 2 hingga 3 Mei 2008 di Johor Bahru, Johor.
“4M seharusnya dapat menjadi sebuah organisasi dialog kebangsaan dan membincang serta mencadangkan penyelesaian isu-isu negara termasuk dari segi politik, ekonomi dan sosial.
“Gagasan 4M ini merentasi pelbagai fahaman politik dan status masyarakat kerana disertai semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, sebuah institusi dialog kebangsaan perlu diwujudkan di negara ini sebagai satu saluran alternatif media sosial.
Ismail dalam kenyataan baru-baru ini berkata, menerusi organisasi itu, isu-isu politik partisan melulu dan melampau serta sikap taksub keterlaluan dalam isu perkauman dan keagamaan harus dibicarakan dengan penuh keadilan bagi menegakkan satu peradaban bangsa serta budaya yang tinggi.
Menurut Yussof, inisiatif gagasan 4M terbantut sehingga sekarang selepas pemimpin Gapena, Tan Sri Dr. Ismail Hussein yang bersetuju menjadi penaung meninggal dunia.
“Penubuhan institusi 4M itu sebenarnya tidak perlu didaftarkan kerana boleh diwujudkan sebagai sebuah majlis sahaja dan Pulau Pinang telah memulakan langkah itu dengan mewujudkan Majlis Muafakat Melayu Pulau Pinang.
“Di Pulau Pinang, Pemenang menjadi penaungnya dan anggota-anggota majlis adalah semua NGO Melayu yang berdaftar di negeri ini. Gapena boleh mengambil contoh kaedah sama untuk mewujudkan 4M,” katanya. – UTUSAN ONLINE