COPENHAGEN: Perlawanan pembukaan kumpulan B di antara Denmark dan Finland bertukar tragedi selepas pemain Denmark, Christian Eriksen rebah secara tiba-tiba pada penghujung separuh babak masa pertama.
Eriksen yang sebelum itu sedang menerima lontaran ke dalam, tiba-tiba tumbang dan tidak sedarkan diri.
Situasi itu menyaksikan pengadil perlawanan, Anthony Taylor segera menghentikan perlawanan tersebut dan memanggil pegawai perubatan masuk ke dalam padang dan bantuan pernafasan (CPR) dilakukan ke atas Eriksen.
Pemain-pemain Denmark kelihatan bersedih dan mengelilingi Eriksen yang dirawat di tepi padang.
Perlawanan ketika itu sedang memasuki waktu rehat yang menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan di Stadium Parken.
Pada perlawanan tersebut, Eriksen dilihat cemerlang bersama pasukan Denmark dan turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang pasukan Findland.
Bagaimanapun, pada minit ke-42, Eriksen dilihat tidak bermaya dan rebah secara tiba-tiba hingga tidak sedarkan diri ketika itu. – AGENSI