WASHINGTON: Pengendali penginapan dalam talian, Airbnb membayar sebanyak AS$7 juta (RM28 juta) kepada seorang pelancong selepas mendakwa dirogol di sebuah apartmen yang disewa di bandar New York.
Lapor Bloomberg News, pelancong warga Australia itu menerima bayaran tersebut selepas serangan yang berlaku pada malam Tahun Baharu 2015.
Menurut laporan itu, sebagai sebahagian bayaran penyelesaian sebanyak RM28 juta, mangsa tidak boleh menuduh mahupun memfailkan saman terhadap Airbnb atau pemilik apartmen, tempat kejadian itu berlaku.
Jelas laporan tersebut, penyelesaian itu dicapai dua tahun selepas serangan berkenaan.
“Dalam kes serangan seksual yang mana penyelesaian sudah dicapai, mangsa boleh bercakap dengan bebas mengenai pengalaman mereka.
“Ini termasuk kes yang berlaku di bandar New York,” kata jurucakap Airbnb, Ben Breit kepada New York Post.
Lapor Bloomberg News, pada hari kejadian, mangsa bersama beberapa rakannya mengambil kunci apartmen itu dari sebuah kedai berhampiran.
Menurut laporan itu, suspek telah membuat salinan kunci apartmen yang membolehkan individu itu masuk ke hartanah terbabit sebelum serangan.
Wanita itu kemudian pulang ke apartmen tersebut selepas tengah malam ketika suspek dikenali Junior Lee, 24, didakwa bersembunyi di bilik mandi.
Lee mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan serangan seksual, namun dia masih dalam tahanan.
Dilaporkan, selepas kejadian itu, pasukan keselamatan Airbnb menghubungi jabatan polis untuk menawarkan bantuan dan menempatkan mangsa di sebuah hotel.
Tambah laporan itu, pasukan Airbnb juga membayar kos kaunseling dan tiket penerbangan ibu mangsa dari Australia bagi membolehkannya melawat anaknya. – AGENSI