IPOH: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyelar tindakan pengamal media dan warga maya yang melontarkan tohmahan ke atas Datuk Saarani Mohamad berhubung isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di negeri ini.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak berkata, tindakan segelintir pihak itu dilihat mengeruhkan keadaan sedangkan Menteri Besar Perak itu sedang berusaha membantu meringankan beban rakyat.
“Tindakan menyindir atau memperkecil usaha dan sumbangan oleh Datuk Saarani adalah perkara yang tidak beretika serta mengecewakan dari sudut hubungan sesama manusia.
“Bersatu Perak mengecam penuh dan menyatakan rasa tidak bersetuju atas tindakan segelintir pengamal media dan para netizen ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, dalam keadaan sedang memerangi penularan pandemik Covid-19, kerjasama erat dan utuh perlu diperkemas daripada pelbagai sudut.
Katanya, dengan matlamat menamatkan penularan wabak itu secepat yang boleh, rakyat Perak perlu memainkan peranan dalam memastikan agenda yang dirangka kerajaan negeri dapat dilaksanakan.
“Bersatu Perak berharap agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Biar pun berbeza pandangan politik dan perjuangan parti, asal usul kejadian kita adalah sama.
“Bersatu Perak mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat dan bersama-samalah kita berganding bahu dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial tentang kenyataan Saarani yang menyifatkan pemberian telefon pintar jenama YES secara percuma oleh Yayasan YTL kepada pelajar miskin di negeri ini adalah lebih baik ada daripada tiada.
Menurut Saarani, telefon pintar itu sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar yang tidak berkemampuan memiliki peranti berkenaan untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Kenyataan Saarani itu bagi menjawab kecaman warga maya berhubung laporan akhbar tempatan yang mendakwa kerajaan Perak mengaku telefon pintar yang diberi di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani adalah berkualiti rendah. – UTUSAN ONLINE