BAYAN LEPAS: Seorang ahli perniagaan wanita di sini ‘berputih mata’ selepas wang simpanannya sebanyak RM74,000 lesap kerana diperdaya sindiket Love Scam.
Mangsa berusia 47 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook yang mendakwa ahli perniagaan warga Amerika Syarikat sejak lebih sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa mula dijerat selepas kenalan mayanya itu memaklumkan memerlukan bantuan kewangan kerana mengalami masalah untuk membaiki tapak projek cari gali miliknya di Itali.
Jelasnya, percaya kenalannya itu memerlukan bantuan, mangsa kemudiannya memindahkan sebanyak RM74,000 menerusi tujuh transaksi ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas dia menceritakan perkara itu kepada rakannya yang kemudiannya membuat semakan dan mendapati gambar yang digunakan kenalannya itu turut digunakan untuk akaun Facebook yang lain.
“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan Love Scam atau Parcel Scam yang aktif mencari mangsa di dalam sosial media.
Tambah beliau, orang ramai juga disarankan membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM di https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.