PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai perekat sosial yang mencantumkan keakraban dan kesepaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
Dalam teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, kemajmukan masyarakat menambah keunikan sebagai rakyat di negara yang berdaulat.
Katanya, keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap rakyat jelata tanpa mengira kaum dapat disaksikan melalui beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini.
“Seri Paduka Baginda sendiri telah mencemar duli untuk menziarahi dan bertanya khabar rakyat apatah lagi apabila ada kalangan rakyat yang ditimpa musibah seperti kemalangan dan bencana alam lain.
“Kita juga dapat melihat hubungan yang baik antara kaum di negara ini sebagai natijah pemerintahan yang baik daripada Seri Paduka Baginda dalam mentadbir masyarakat majmuk di negara kita,” menurut teks khutbah khas itu yang dibacakan khatib pada solat Jumaat hari ini sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Bertemakan ‘Tonggak Kedaulatan Negara’, katanya, sebagai rakyat pula, perlu bertindak bijak menjaga keharmonian dan perpaduan ini dengan saling membantu, melindungi, menasihati dan sama-sama memelihara kedaulatan negara ini walaupun terdiri daripada latar belakang yang berbeza dari segi agama, bangsa, politik dan ideologi.
Katanya, sesungguhnya peranan Yang di-Pertuan Agong tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya rakyat tidak memberikan kerjasama dan tidak menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai rakyat.
Pada masa sama, khatib turut mengingatkan bahawa masyarakat Islam khususnya harus bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan nikmat keamanan dan keharmonian di negara ini serta atas kurniaan pemerintahan yang baik di bawah Seri Paduka Baginda.
“Sebagai umat Islam, kita perlu menjaga kesucian dan kedaulatan agama ini dengan melaksanakan syiar Islam dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada semua manusia.
“Sebagai rakyat juga, kita bertanggungjawab menyerahkan taat setia kita kepada Yang di-Pertuan Agong agar pentadbiran dan pemerintahan Seri Paduka Baginda dapat dijalankan dengan lancar dan menyeluruh kepada seluruh rakyat,” katanya. – UTUSAN