PETALING JAYA: Agihan komputer riba bagi murid kategori B40 untuk keperluan pembelajaran dan pengajaran akan selesai pada akhir September ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebanyak 12,887 unit komputer riba telah diagihkan kepada 95 buah sekolah di seluruh negara melibatkan sejumlah 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, sebanyak 40,290 unit komputer juga dijangka selesai pada 12 Jun ini.
“Baki agihan komputer riba sebanyak 96,823 unit lagi dijangka selesai pada September. Saya harap penjelasan ini dapat menjawab persoalan tentang agihan sebanyak 150,000 unit komputer riba yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang akhbar khas hari ini.
Kerajaan sebelum ini menyasarkan sebanyak 150,000 murid kategori B40 akan menerima komputer riba dan akses internet selama setahun.