Abang berkorban tangguh sambung belajar, adik muncul pelajar cemerlang STAM  - Utusan Malaysia

Abang berkorban tangguh sambung belajar, adik muncul pelajar cemerlang STAM 

MOHAMAD Hakimi Ahmad Jais (tengah) berkongsi keputusan peperiksaan STAM dengan bersama ibu bapanya di Kampung Melayu Padang Grus, Lenggong, Perak, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Pengorbanan seorang abang yang terpaksa menangguh hasrat menyambung pelajaran demi memberi peluang adiknya meneruskan persekolahan berbalas, apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Mohamad Hakimi Ahmad Jais, 19, berkata, pengorbanan abang keduanya itu amat dihargai kerana sanggup bekerja terlebih dahulu walaupun dia sendiri adalah pelajar cemerlang.

Katanya, abangnya, Mohamad Salman, 22, pernah ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) pada 2019, namun ditolak ekoran kekangan kewangan.

“Kejayaan saya hari ini adalah hasil pengorbanan ayah yang bekerja sebagai penoreh getah dan abang yang berkerja kampung untuk membantu keluarga. 

“Saya sedih kerana abang juga pandai dalam pelajaran namun terpaksa pendamkan hasratnya demi saya dan abang sulung yang masih belajar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Melayu Padang Grus di sini hari ini.

Mohamad Hakimi yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Mizan, Manong, Kuala Kangsar itu memperolehi keputusan tujuh Mumtaz (cemerlang) dan tiga Jayyid Jiddan (sangat baik) bagi STAM yang diumumkan hari ini.

Dalam pada itu, menceritakan rahsia kejayaannya, anak kepada pasangan Sohifah Sam, 47 dan Ahmad Jais Awang, 49, itu berkata, fokus kepada pelajaran menjadi kunci kejayaannya meraih keputusan cemerlang.

Katanya, meskipun kekok menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), dia cuba menguatkan semangat walau mengakui ada ketikanya pernah berputus asa.

“Apabila mula rasa ‘down’ saya akan hubungi guru dan rakan-rakan untuk naikkan semula semangat. Saya faham, tiada jalan mudah untuk berjaya dan saya cuba sedaya upaya untuk ikut sesi pembelajaran norma baharu ini.

“Syukur, Alhamdulillah, saya berjaya memperolehi keputusan Mumtaz untuk peperiksaan ini. Ini adalah hadiah untuk ibu bapa dan abang saya,” katanya.

Kata Mohamad Hakimi, dia bercita-cita menjadi guru dan berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya