PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 71 orang, berbanding semalam, 67 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus kekal merekodkan kes kematian tertinggi iaitu 28 kes, lapan kes di Johor, tujuh kes di Sarawak, enam kes di Kuala Lumpur, lima kes di Kelantan, empat kes di Melaka, tiga kes di Kedah, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak serta masing-masing satu kes di Sabah, Pahang, Labuan, dan Pulau Pinang.
“Seramai 45 lelaki termasuk satu warga asing dan 26 wanita termasuk satu warga asing berusia antara 27 hingga 93 tahun melibatkan 55 warga emas serta lapan kes tiada latar belakang penyakit dan lima kematian di rumah (BID).
“Antara penyakit yang dikesan, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung, dislipidemia, strok, autoimun, leukimia, rheumatoid arthritis, obesiti, paratiroid, Obstructive Sleep Apnoea, pituitary macroadenoma, osteoarthritis, asma, kanser, hati, paru-paru kronik, kanser otak, tiroid, gout, parkinson, tuberkulosis dan glaukoma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 negara juga merekodkan peningkatan iaitu 7,105 kes selepas semalam merekodkan sebanyak 6,824 kes sekali gus mengatasi 6,083 kes sembuh.
Katanya, kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 80,474 kes berbanding semalam, 79,523 kes manakala sebanyak 872 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 419 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,068 kes diikuti Kuala Lumpur (817), Sarawak (703), Kelantan (531), Johor (431), Pulau Pinang (400), Negeri Sembilan (397), Perak (387), Sabah (318), Melaka (249), Kedah (236), Terengganu (198), Pahang (190), Labuan (162).
“Hanya satu wilayah merekod kes dua angka iaitu Putrajaya, 18 kes manakala Perlis, sifar kes,” katanya.
Mengulas mengenai 27 kluster, beliau berkata, 13 tempat kerja, lapan komuniti, tiga keagamaan, dua pendidikan dan satu kumpulan berisiko tinggi.
Kluster tempat kerja katanya, Jalan Enggang di Kuala Langat, Selangor (28); Persiaran Bestari di Petaling, Selangor (25); Batu Empat Kampung Jawa di Klang, Selangor (25); Jalan Setia Perdana di Klang, Selangor (37); Jalan Haji Lampam di Miri, Sarawak (22); Panchor di Kota Bharu, Kelantan (22) dan Jalan NIP Dua di Johor Bahru, Johor (20).
“Enam lagi, Jalan Dataran Larkin Tiga di Johor Bahru, Johor (6); Jalan Suka Ria melibatkan Johor Bahru dan Kluang, Johor (10); Jalan Semarak di Titiwangsa, Kuala Lumpur (18); Hala Kampung Jawa Dua melibatkan Barat Daya, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, Pulau Pinang (21); Lebuh Kampung Jawa melibatkan Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang (18) dan Jalan Greentown Dua di Kinta, Perak (17).
“Lapan kluster komuniti, Tengah Hulu Gedong di Simunjan, Sarawak (21); Kampung Bukit Bidang di Pasir Puteh, Kelantan (23); Linggiu di Kota Tinggi, Johor (21); Belah Dua di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (16) Kampung Paloh Chicha Tinggi melibatkan Pasir Mas dan Pasir Puteh (16); Lubok Kuin di Bachok, Kelantan (17); Indah Paka melibatkan Dungun, Kemaman dan Marang, Terengganu (55) dan Teluk Muroh di Manjung, Perak (19),” katanya.
Tambahnya, tiga kluster keagamaan iaitu Parit Babok di Tangkak, Johor (37); Taman Kerian Tambahan di Kerian, Perak (49) dan Parit Haji Wahab di Kerian, Perak (20).
“Dua kluster pendidikan pula, Kampung Menjual melibatkan Tumpat dan Kota Bharu, Kelantan (30) dan Jalan Taman Sri Selising melibatkan Machang dan Pasir Puteh (6) manakala satu kluster kumpulan berisiko tinggi, Persiaran Raja Chulan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (18),” katanya.