PUTRAJAYA: Enam lokaliti berbeza masing-masing dua di Sarawak dan empat di Sabah bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak mulai lusa sehingga 16 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sarawak melibatkan Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum anak Anchih di Sungai Duan berikutan penularan jangkitan dalam komuniti tempatan dengan kadan positif naik 21 peratus.
“PKPD juga untuk tempoh sama membabitkan Bahagian Pantai Barat iaitu tiga lokaliti di Daerah Kota Belud susulan peningkatan kes yang ketara meliputi Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau apabila 23 kes positif baharu direkodkan.
“Baki satu lagi lokaliti yang dikenakan PKPD di bahagian sama ialah Kampung Simpangan, Daerah Tuaran apabila lapan kes sudah pun direkodkan daripada 10 ujian saringan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Bahagian Mukah, Sarawak dilanjutkan 14 hari lagi, manakala PKPD di Sekolah Kebangsaaan Bakerkong yang juga terletak di Tanjung Manis, berakhir esok seperti dijadualkan selain PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Bahagian Tawau, Sabah juga ditamatkan esok lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 12 Jun ini.
Mengenai perkembangan jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam, katanya, 684 individu diberkas dengan seramai 630 daripadanya dikompaun, 45 direman dan sembilan dijamin.
“Kesalahan tertinggi kali ini masih lagi sebab tidak memakai pelitup muka iaitu 175 kes diikuti gagal merekod butiran diri di premis dengan 143 kes, kesalahan merentas kawasan dan makan di premis (83), tidak patuh arahan PKP (79), gagal jarak fizikal (77), aktiviti pusat hiburan (sembilan) dan lain-lain (118),” katanya.
Menurutnya, seramai 534 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka dikuarantin dengan 9,183 individu terbabit masih lagi menjalani proses itu selain seramai 2,299 individu dibawa ke hospital, manakala 204,684 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 522 peruncit, 164 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,590 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis mematuhi peraturan.
Beliau juga mengesahkan, tiada pekerja asing yang didapati positif Covid-19 daripada 56 orang melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia di seluruh negara semalam.