IPOH: Lima sekawan berdepan hukuman mati di tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menculik dan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan terapung di Sungai Kinta, bulan lalu.
Basharuddin Hammersla, 26; S. Jeyenthiran, 34; S. Simeon, 31; T. Selvamani, 40, dan V. Thiruganesh, 36, bersama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh A. Preshna, 40.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Che Puteh, di sini antara pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang, 23 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.
Pada prosiding sama, Jeyenthiran, Simeon, Basharuddin dan Selvamani turut didakwa menculik Preshna dengan tujuan dibunuh atau dilepaskan dengan sedemikian hingga mendatangkan kepadanya bahaya dibunuh.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada hari sama di bangunan terbiar Jublee Park dalam daerah Kinta kira-kira pukul 7.30 pagi.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh masing-masing diwakili Peguam Nahtan Krishnan dan Charan Singh.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media pada 26 Mei lalu melaporkan, mayat Preshna dijumpai orang awam pada pukul 6 petang dalam keadaan muka dan tangan kirinya hancur.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki itu akibat kecederaan tisu lembut disebabkan objek tumpul selain terdapat luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada anggota badan mangsa. – UTUSAN ONLINE