MELAKA: Sebanyak 48 ekor lembu dan kambing ternakan dengan anggaran nilai RM274,000 dilaporkan telah dicuri di negeri ini, sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kes kecurian itu direkodkan meningkat sejak awal bulan ini melibatkan 16 ekor ternakan.
Katanya, polis turut menahan tujuh individu pada 16 Jun lalu selepas dipercayai menjadi dalang kegiatan tersebut susulan permintaan tinggi sempena persediaan Hari Raya Aidiladha.
“Sejak awal tahun ini, secara keseluruhan sebanyak 48 ekor lembu dan kambing milik penternak dilaporkan hilang membabitkan kerugian RM274,000.
“Bulan ini sebanyak 16 ekor ternakan dilaporkan hilang dan susulan itu juga kita menahan tujuh lelaki berusia 21 hingga 53 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu serta kambing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, mengikut pecahan,sebanyak 11 ekor ternakan dilaporkan hilang pada Januari, Februari (10), Mac (tiga), April (10) dan lima ekor pada Mei lalu.
“Kes-kes kecurian ini dilaporkan berlaku di ketiga-tiga daerah dengan tiga kes di Melaka Tengah; tujuh di Alor Gajah dan enam di Jasin.
“Dua ekor lembu yang dicuri di Jasin berjaya ditemukan semula, namun suspek telah menjualnya kepada peraih lain di Krubong. Kita percaya masih ada rangkaian lain yang terlibat dan sedang mengesan mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penternak untuk memasang pagar yang lebih kukuh dan tidak membiarkan ternakan berkeliaran tanpa pengawasan, terutama menjelang ibadah korban.
“Kesemua suspek yang ditahan masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” jelasnya.