4,055 kilang di Perak diperiksa sejak 1 Jun - Utusan Malaysia

4,055 kilang di Perak diperiksa sejak 1 Jun

MIOR Faridalathrash Wahid memeriksa aplikasi Mysejahtera seorang pekerja dalam Op Bersepadu Pemeriksaan SOP PKP di Zon Perindustrian Bebas Kinta, Ipoh, Perak,  hari ini. UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 4,055 buah kilang di negeri ini diperiksa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun hingga semalam. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, 16 kompaun dikeluarkan ke atas pemilik premis atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, tiga buah kilang masing-masing dua di Tapah dan satu di Batu Gajah pula diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sejak awal Jun lalu, kita melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di kawasan kilang dan perindustrian di negeri ini.

“Sehingga semalam, sebanyak 4,055 buah kilang diperiksa dengan 16 kompaun dikeluarkan termasuk tiga buah kilang lagi diarah tutup,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Op Bersepadu Pemeriksaan SOP PKP kilang bersama Ketua Polis Perak di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas operasi yang dijalankan hari ini, Mior Farid berkata, sebanyak 20 buah kilang di Ipoh, Batu Gajah dan Kampar diperiksa dalam operasi bersama agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata, 13 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk gagal menyediakan laluan keluar masuk, gagal menyediakan peralatan saringan suhu, gagal memastikan pekerja memakai pelitup muka, gagal menyediakan daftar kehadiran dan gagal melaksanakan penjarakan sosial.

“Dalam operasi ini, sebuah kilang pembuatan kren pelabuhan di Chemor diarah tutup kerana didapati melanggar SOP PKP yang ditetapkan.

“Berdasarkan pemeriksaan, kilang itu memiliki kebenaran daripada MITI untuk beroperasi namun hasil semakan hari ini mendapati operasi kilang itu bukan dalam kategori perkhidmatan perlu,” katanya.

Operasi bermula pukul 9 pagi itu turut disertai MKN, MITI, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya