KUALA KRAI: Seramai 400 penduduk di pinggir Sungai Kelantan yang merupakan kawasan pedalaman menerima suntikan lengkap dua dos vaksin menerusi program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Bahagia di sini.
Antara yang terlibat, Kampung Bahagia, Kampung Mambong, Kampung Raba, Kampung Picung, Kampung Johar, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kluat.
Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Hazura Mat Zubir berkata, program itu dijayakan 60 petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai dan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) yang mengambil masa selama 40 minit menaiki bot untuk ke PPV Kampung Bahagia.
“Selain itu, ada juga petugas yang melalui jalan darat kerana perlu singgah di beberapa buah rumah di Kampung Kluat untuk memberi vaksin kepada penduduk yang terlantar sakit di rumah mereka.
“Pemberian vaksin di 10 buah kampung ini berjalan lancar. 400 penduduk yang sebelum ini menerima vaksin dos pertama hadir untuk menerima dos kedua hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Kampung Bahagia di sini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman turut turun padang meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk di situ.
Mengulas lanjut, Hazura berkata, secara keseluruhannya, program Outreach Vaksinasi Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai akan diteruskan di perkampungan lain di kawasan pedalaman bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.