35 ditahan dalam semak 'sarang penagih' Gunung Keriang - Utusan Malaysia

35 ditahan dalam semak ‘sarang penagih’ Gunung Keriang

SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang ditahan selepas diserbu polis di Gunung Keriang, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 35 individu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) ditahan selepas polis menyerbu kawasan semak yang dipercayai sarang penagihan dadah di Gunung Keriang di sini semalam.

Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan serbuan tersebut pada pukul 5 pagi hingga 1 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Sukri Mat Akhir berkata, kesemua individu yang berusia 23 hingga 60 tahun itu kebanyakannya petani, menganggur dan bekerja sendiri.

“Hasil semakan juga mendapati mereka yang ditahan datang dari sekitar Alor Setar manakala seorang lagi yang juga OKU iaitu cacat pendengaran dan bisu ditahan kerana merentas daerah untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Hasil intipan, kawasan terbabit juga dijadikan tempat jual beli dadah selain tempat menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua individu tersebut juga dikenakan tindakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu keluar rumah tanpa alasan munasabah.

Sementara itu, sembilan daripada mereka akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39(C) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu penalti lebih berat kerana telah melakukan kesalahan berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Tiga daripada mereka juga adalah orang yang dikehendaki polis di Alor Setar, Johor Bahru dan Kajang kerana kesalahan dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya