SEBERANG PERAI: Seramai tiga individu kerugian sebanyak RM29,560 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pinjaman berlesen, pelaburan saham dan jual beli secara dalam talian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu tertarik dengan iklan pinjaman wang, pelaburan dan jualan haiwan peliharaan di laman sosial Facebook.
Jelas beliau, kesemua mereka kemudiannya berhubung dengan suspek dan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank yang diberikan.
“Bagaimanapun, mereka menyedari telah ditipu apabila masih suspek masih meminta wang tambahan manakala nombor telefon yang diberikan pula kemudiannya gagal dihubungi.
“Kesemua mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Noorzainy menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan yang menjalankan modus operandi menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram.
“Orang awam juga boleh membuat semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi “Check Scammers CCID” di Google Playstore sebelum membuat sebarang transaksi secara online,” katanya. – UTUSAN ONLINE