GEORGETOWN: Kira-kira 270,000 golongan warga emas di Pulau Pinang perlu segera diberi vaksin Covid-19 dalam memastikan keselamatan mereka daripada wabak berkenaan lebih terjamin.
Sehubungan itu Setiausaha Parti Gerakan negeri, Hng Chee Wey berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab membantu rakyat khususnya warga emas yang memerlukan bantuan untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin supaya sasaran imuniti kelompok tercapai.
“Program saringan harus dijalankan secara besar-besaran tanpa mengehadkan jumlah orang yang bakal menjalani ujian saringan.
“Ini kerana ujian saringan dan vaksin merupakan satu-satunya penyelesaian bagi menjamin keselamatan rakyat khususnya warga emas ketika situasi kes Covid-19 masih tidak stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, satu pelaksanaan saringan besar-besaran dalam kumpulan komuniti bersasar membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini akan dilaksanakan.
Kon Yeow berkata, pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Chee Wey, pihaknya berharap saringan bersasar yang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri di Flat Padang Tembak, Ayer Itam susulan kes positif di kawasan itu boleh dijadikan pemangkin untuk kerajaan negeri memulakan program saringan secara besar-besaran.
“Kami mengambil berat tentang keadaan penduduk di Flat Padang Tembak yang berkepadatan tinggi dan majoriti penduduk di sana terdiri daripada golongan warga emas.
“Ahli Parlimen Bukit Bendera dan wakil rakyat perlu mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Padang Tembak untuk memudahkan penduduk terutama warga emas yang tidak ada kenderaan dan mempunyai masalah pergerakan,” katanya.
Tambahnya, hanya terdapat dua PPV disediakan di daerah Timur Laut iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang dan Tapak Pesta Sungai Nibong di mana kedua-dua tempat itu jauh dari kawasan Padang Tembak.
“Sekiranya terdapat PPV di Padang Tembak akan mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan warga emas. Tambahan pula, ada di antara penduduk di situ tidak mempunyai telefon bimbit dan tidak tahu mengguna aplikasi MySejahtera,” katanya.