250 penduduk gelisah, gajah liar musnahkan kebun

250 penduduk gelisah, gajah liar musnahkan kebun

SEBAHAGIAN pokok pisang yang dirosakkan gajah liar sehingga mengakibatkan penduduk menanggung kerugian di Kampung Tenang, Segamat, Johor. – FOTO/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kira-kira 250 orang penduduk gelisah dengan kehadiran seekor gajah liar yang merosakkan tanaman milik me­reka di Kampung Tenang, di sini sejak tiga minggu lalu.

Menurut Ketua Kampung Te­nang, Ismail Abu Bakar, 64, hai­wan itu bertindak agresif de­ngan menceroboh beberapa kebun tanaman kelapa sawit dan pisang milik penduduk dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM36,000.

“Serangan dipercayai dilakukan waktu awal pagi iaitu sekitar pukul 3 hingga 4 pagi sewaktu penduduk sedang tidur. Sebahagian penduduk kampung bersama-sama pemilik kebun yang terkesan terpaksa menghalau gajah liar itu dengan menggunakan mercun.

“Kita ada memasang pagar elektrik sebelum ini bagi menjaga kebun-kebun penduduk kampung di sini. Namun, didapati pagar elektrik sempadan hutan tidak berfungsi.

“Kami telah membuat aduan kepada Pejabat Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar (Perhilitan) Daerah Segamat mengenai masalah itu. Mereka telah datang untuk tujuan memantau pergerakan gajah dan menghalau gajah dari kawasan kampung sebanyak tiga kali. Tetapi ia masih datang mengganggu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tenang, Khairul Nizam Ab. Ma­nap, 42, berkata, serangan gajah liar yang telah mula men­ceroboh projek tanaman pisang penduduk dikesan bermula pa­da 15 Mei lalu.

“Penduduk amat berharap agar ancaman gajah liar ini dapat diatasi segera memandang­kan sektor pertanian seperti tanaman pisang dan sawit adalah punca utama pendapatan mereka.

“Kami juga berharap agar pihak Jabatan Perhilitan dapat menggunakan kemudahan dron untuk menangkap dan memindahkan gajah liar ini dengan segera dan berkesan seperti yang dilakukan di Kota Tinggi sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhi­litan Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya akan berusaha untuk membantu penduduk kampung bagi penyelenggaraan segera pagar elektrik yang sedia ada.

“Di samping itu, pihak kami akan memastikan tender untuk penyelenggaraan tersebut dapat dibuat dalam masa yang terde­kat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya