KOTA BHARU: Sebanyak 23 kes positif Covid-19 membabitkan varian Beta (B.1.351) atau sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan dikesan di Kelantan setakat ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, varian itu yang mula dikesan di Kluster Tahfiz di Tanah Merah dan Bunut Sarang Burung, Tumpat kini turut dikesan di Kluster Jalan Padang Tembak dan Bunut Susu.
“Jabatan Kesihatan akan terus mengambil sampel calitan bagi mengesan varian ini.
“Dalam masa sama orang ramai dinasihatkan terus mematuhi asas pencegahan Covid-19 iaitu penjarakan fizikal, membasuh tangan dan memakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tanjung Chat, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Zurairie Mohd. Zubir dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Salaswati Ghazali.
Terdahulu, Dr. Zaini melawat PKRC Tanjung Chat yang merupakan PKRC ke-15 di Kelantan selain PKRC hibrid kedua di negeri ini yang mempunyai katil klinikal selain PKRC Gelanggang Seni.
PKRC Tanjung Chat mula beroperasi hari ini dengan kapasiti 200 katil pesakit termasuk 44 katil khusus untuk pesakit klinikal.
Mengulas lanjut berhubung pemberian vaksin, Dr. Zaini berkata, setakat ini pihaknya berpendapat belum ada keperluan untuk melakukan suntikan kepada penerima vaksin secara rumah ke rumah.
“Pihak jabatan bersama Ketua Jajahan dan agensi yang terlibat merancang untuk mempercepatkan vaksinasi ke seluruh Kelantan. Kita tidak kira lapisan masyarakat, tumpuan adalah untuk semua golongan,” katanya.