GEORGETOWN: Seramai 202 individu di negeri ini ditahan dalam tempoh empat bulan iaitu antara Januari hingga April lalu bersabit kesalahan kes ketum.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 melibatkan 100 kertas siasatan dengan 64 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya sentiasa agresif dalam membasmi penyalahgunaan ketum serta dadah dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai supaya turut membantu dalam membasmi penyalahgunaan ketum dan dadah ini dengan sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis.
“Memiliki ketum secara salah adalah tertakluk di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri operasi melupuskan sebanyak 1,261 kilogram daun ketum dan 4,470 liter cecair ketum di tanah rizab PDRM, Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau dekat sini.
Kesemua barang kes itu merupakan hasil rampasan daripada 81 kes yang disiasat antara 2015 hingga tahun lalu dan selesai diambil tindakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.
Sekiranya terlepas ke pasaran, hasil rampasan yang dianggarkan bernilai RM57,310 itu mampu menampung kegunaan seramai 8,941 pengguna tegar air ketum.
Jelas Mustafa Kamal Gani, operasi melupuskan daun dan cecair ketum itu dibuat dengan kaedah tanam seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989.
Katanya, pelaksanaan itu juga telah mendapat nasihat serta pandangan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri.
“Pelupusan ini dilaksanakan secara berperingkat dan IPD Barat Daya adalah yang pertama menjalankan pelupusan barang kes ketum tahun ini.
“Pelupusan ini adalah perlu bagi mengatasi masalah lambakan barang kes di stor-stor barang kes setiap daerah,” katanya.