PUTRAJAYA: Dua lokaliti di Kunak, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan Kampung Pangi Hujung dan Kampung JKR Lama bermula lusa hingga 7 Julai ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, kedua-dua lokaliti berkenaan merekodkan masing-masing 11 dan 15 kes positif dikesan hasil daripada 16 dan 42 saringan.
Menurut beliau, PKPD di Kampung Kebayau, Kota Belud, Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi 14 hari manakala PKPD di dua lokaliti di Sandakan iaitu Kampung Sungai Obar, Batu 7 dan Fasa 9B Taman Indah Jaya ditamatkan selepas 326 ujian saringan dilakukan dan 52 daripadanya disahkan positif.
“PKPD Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur turut ditamatkan selepas 46 disahkan positif daripada 307 ujian saringan dilakukan berikutan trend kes menurun, kluster terkawal manakala semua kes positif menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditamatkan PKPD dua lokaliti di Kudat, Sabah iaitu Kampung Sin San dan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi selain Taman Perdana, Lahad Datu.