PUTRAJAYA: Seramai 19 ketua perwakilan Malaysia yang baharu ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, setelah mengambil kira situasi penularan Covid-19 yang masih serius ketika ini, Seri Paduka menitahkan supaya pentauliahan secara Berutus Warkah.
“Ia bagi menggantikan Istiadat Pengurniaan Surat Watikah Pelantikan yang kelazimannya diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur,” kata kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini.
Ketua perwakilan itu masing-masingnya meliputi lima pesuruhjaya tinggi Malaysia bagi negara anggota Pertubuhan Komanwel dan selebihnya lagi adalah 14 duta besar Malaysia.
Mereka ialah bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Zakri Jaafar; Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar (Singapura), Datuk Roslan Abdul Rahman (Australia), Raja Datuk Reza Raja Zaib Shah (Brunei) dan Anizan @ Siti Hajjar Adnin (Kanada).
Sementara itu, bakal Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman; Datuk Ahmad Rozian Abd. Ghani (Belgium), Datuk Mohd. Zamruni Khalid (Perancis) dan Ikram Mohd. Ibrahim (Austria).
Juga Kennedy Mayong Onon (Croatia), Zamani Ismail (Mesir), Shaiful Anuar Mohammad (Oman), Francisco Munis (Hungary), Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin (Romania).
Mohammad Faizal Razali (Algeria), Shazryll Zahiran (Bahrain), Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin (Bosnia dan Herzegovina), Azri Mat Yacob (Lubnan), Nur Azman Abdul Rahim (Argentina). – UTUSAN ONINE