18 anak muda dibenar cabar keputusan kerajaan - Utusan Malaysia

18 anak muda dibenar cabar keputusan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan 18 anak muda memulakan semakan kehakiman dalam usaha mendapat perisytiharan agar Undi 18 dijalankan secara automatik.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid membenarkan permohonan mereka yang mewakili Gerakan Undi 18, tanpa kos dan menetapkan pengurusan kes pada 1 Julai ini.

Dengan itu, permohonan mereka supaya penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dilaksanakan pada pilihan raya umum kelak, akan didengar meritnya melalui penghujahan peguam-peguam pemohon dan responden.

Hakim Ahmad Kamal ketika membacakan keputusannya menyatakan, sekumpulan anak muda tersebut merupakan pihak yang terkesan dengan keputusan kerajaan menangguhkan penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, walhal ia telah diluluskan Parlimen.

Ketika sesi penghujahan bulan lalu, mahkamah diberitahu penangguhan itu menyebabkan 1.2 juta belia berusia 18 hingga 20 tahun tidak dapat mengundi jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Beliau berpuas hati bahawa mereka merupakan rakyat Malaysia yang mana jika pindaan akta dilaksanakan, pemohon-pemohon layak untuk mendaftar sebagai pemilih dalam kawasan masing-masing dan layak mengundi.

Jelas Ahmad Kamal, pemohon-pemohon merupakan sebahagian daripada Gerakan Undi 18 dan terlibat dalam pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung penurunan had usia mengundi minimum.

“Atas alasan itu, saya bersetuju dengan pemohon-pemohon bahawa keputusan responden untuk tidak melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 secara segera atau sebelum Julai ini telah memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Ahmad Kamal turut bersetuju dengan pemohon-pemohon bahawa pindaan kepada akta-akta tersebut merupakan isu kedua yang tidak sepatutnya menghalang pelaksanaan pindaan undi 18 daripada dikuatkuasakan.

Beliau turut berpendapat, permohonan 18 anak muda itu bukan sesuatu yang remeh dan responden-responden perlu memberikan penjelasan dalam bentuk afidavit bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan dan relif yang sesuai.

Sehubungan itu, permohonan kebenaran semakan kehakiman diluluskan selepas mahkamah berpuas hati bahawa pemohon telah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan pada peringkat itu.

Pada 2 April lalu, sekumpulan belia yang mewakili Gerakan Undi18 memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapat beberapa perintah mahkamah susulan tindakan penangguhan pelaksanaan Undi18.

Mereka menamakan Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden-responden.

Mereka menuntut perisytiharan mahkamah bahawa individu berusia 18 ke 20 menjelang Julai ini, diberikan hak mengundi.

Undi18 ialah inisiatif untuk menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik dilakukan.

Pada 25 Mac lalu, SPR dalam satu kenyataan media menyatakan hak mengundi automatik dan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran cabaran yang dihadapi oleh SPR ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kumpulan anak muda itu diwakili peguam-peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Datuk S. Ambiga manakala Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Azizan Md. Arshad dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin mewakili responden-responden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya