1,769 aduan majikan tidak benar kerja dari rumah - Utusan Malaysia

1,769 aduan majikan tidak benar kerja dari rumah

AWANG Hashim (kanan) yang mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Prosedur Operasi Standard Akta 342 bertanyakan sesuatu kepada pekerja di sebuah kilang produk kesihatan di Jitra, Kubang Pasu. - UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kementerian Sumber Manusia menerima 1,769 aduan dari seluruh negara berkaitan tindakan majikan tidak membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah (BDR) menerusi aplikasi digital Working for Workers (WfW) yang dilancarkan bulan lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, aduan berhubung perkara itu hampir 50 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima menerusi aplikasi tersebut.

“Secara keseluruhannya, kami menerima sebanyak 3,737 aduan menerusi WfW, namun aduan berkaitan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah merupakan yang tertinggi.

“Kadang-kadang bukan setakat 80 hingga 90 peratus, malah masih ada hingga 100 peratus bekerja di pejabat atau kilang dan perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam keadaan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan Prosedur Operasi Standard Akta 342 di sebuah kilang produk kesihatan di Jitra, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengumumkan penambahan kategori aduan iaitu ‘Majikan tidak benarkan BDR’ dalam aplikasi tersebut berikutan pengumuman kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Saravanan, langkah tersebut diharap dapat mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja.

Sementara itu Awang memberitahu, setakat ini, Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Kerja telah melakukan pemeriksaan terhadap 19,981 majikan selain 108,877 penginapan di seluruh negara.

Tambahnya, sebanyak 757 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta 446 terhadap majikan pelbagai sektor melibatkan bermacam-macam kesalahan di bawah akta tersebut.

“Daripada 757 itu, sebanyak 125 kertas siasatan melalui proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen seluruh negara manakala 55 daripada pendakwaan itu telah selesai dan jumlah denda dibayar adalah sebanyak RM361,000.

“Kebanyakan kesalahan dilakukan ialah pelanggaran Seksyen 24D, Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

“Selain itu, banyak juga kes melibatkan pelanggaran peraturan 3 dan 4 Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja iaitu tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya