PETALING JAYA: Tindakan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) mengendalikan perniagaan kedai runcit mengundang padah apabila kesemua mereka diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 14 dan 15 Jun lalu.
Operasi dijalankan oleh 14 pegawai dari Unit QRT Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Putrajaya itu menyerbu 16 premis kedai runcit di sekitar Bukit Sentosa dan Dengkil, Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warganegara Bangladesh diikuti Myanmmar (tujuh orang), Indonesia (lima orang) masing-masing terdiri tiga lelaki dan wanita serta Pakistan (dua orang) dan India (seorang).
Kata beliau, pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut.
“Pemeriksaan di semua premis terlibat mendapati kesemua premis mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing.
“Semasa serbuan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi. Bagaimanapun, kesemua warga asing ini ditahan dan situasi dapat dikawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih, Selangor.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959 dan 1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dalam pada itu, sebanyak enam warganegara tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, tegas Khairul Dzaimee, Jabatan Imigresen sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat yang disalurkan orang ramai.
Orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI atau mana-mana premis yang disyaki dijalankan oleh warga asing secara tidak teratur. – UTUSAN ONLINE