158 gelandangan ditempatkan di penempatan sementara - Utusan Malaysia

158 gelandangan ditempatkan di penempatan sementara

SEBAHAGIAN gelandangan beratur untuk mengambil bungkusan makanan sambil dibantu petugas Bulan Sabit Merah di Laman Tun Seri Lanang di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menempatkan seramai 158 gelandangan di sekitar bandar raya ini di dua penempatan sementara bagi memastikan kesejahteraan mereka, selain mengelak dijangkiti Covid-19.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, 38 daripadanya dicadang untuk ditempatkan di Anjung Singgah, Taman Nong Chik, di sini manakala 120 lagi akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita, Taman Perling.

“MBJB akan memberi tumpuan untuk melindungi golongan gelandangan ini yang dikategorikan berisiko tinggi dan terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“MBJB akan mengeluarkan peruntukan RM103,600 secara bulanan dan RM35,000 secara ‘one-off’ bagi membantu gelandangan yang akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat penuh MBJB di sini hari ini.

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor memohon agar gelandangan diberi suntikan vaksin semasa melawat pusat gelandangan di Dataran Tun Sri Lanang.

Menurut Mohd. Rashidi, langkah itu bagi mengelak penularan wabak Covid-19. Selain itu pihaknya juga berharap perancangan MBJB untuk membina sebuah pusat transit kepada gelandangan di Larkin dapat disiapkan seperti yang dijadualkan.

Sementara itu, jelas Adib Azhari, kos perbelanjaan itu antaranya membabitkan penyediaan keperluan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari, peralatan pembersihan diri, keperluan cadar, sarung bantal dan tuala serta elaun harian petugas.

Beliau berkata, statistik terkini gelandangan dalam kawasan MBJB yang berdaftar dengan Bulan Sabit Merah adalah seramai 229 orang.

“Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di kawasan tanah lapang di Taman Larkin Perdana akan dilengkapi antaranya dengan ruang pejabat, bilik rawatan, bilik penginapan, dewan makan, surau, bilik sakit dan isolasi.

“Bangunan transit itu direka untuk menampung sejumlah 200 gelandangan dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan pondok pengawal dan hiasan landskap.

“Memandangkan kita masih dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, projek pembinaan pusat transit gelandangan ini dijangka akan bermula pada Ogos ini dan dijangka siap pada Julai 2022,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya