RAUB: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan 157 bilik sejuk beku bagi menyimpan isi durian dalam bentuk ulas dan pes bagi mengatasi lambakan durian ketika pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mohamad Mustahapa Awang berkata, agensi berkenaan mempunyai 12 pusat memproses yang boleh menyimpan lebih 1,100 metrik tan ulas dan pes durian.
Tambahnya, sebanyak 57 plug tambahan yang boleh disambung kepada kontena sejuk beku jika terdapat tambahan bekalan durian di luar jangka.
“Bagaimanapun musim durian hanya bermula di Pulau Pinang dan Tangkak, Johor manakala di negeri lain seperti Pahang dan Perak, Julai hingga September ini.
“Oleh itu petani dan pekebun durian tidak perlu bimbang dengan lambakan durian kerana FAMA sentiasa membantu dari segi penyimpanan dan pasaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada penduduk kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di sini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab.Moin.
Mohamad Mustahapa berkata, eksport tahun lepas isi durian sejuk beku ke pasaran tradisi Singapura sebanyak 16,495 metrik tan, China (8,158 metrik tan), Hong Kong (4.1 metrik tan), Amerika Syarikat (745.25 metrik tan), Australia (55.28 metrik tan), lain-lain pasaran sebanyak 525.89 metrik tan.
Tambahnya, pada tahun ini FAMA menjangkakan jumlah eksport durian ke negara terbabit dalam kuantiti sama walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.
“Negara mula mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China bermula Jun 2019 di samping dalam bentuk ulas dan pes,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, Pahang pengeluar durian terbesar berjumlah 53,000 metrik tan yang majoritinya durian musang king dari Raub berbanding kira-kira 404,000 metrik tan seluruh negara.
Berhubung isu lambakan hasil pertanian, beliau berkata, FAMA membuka outlet pasar segar setiap negeri dan daerah bagi membantu memasarkan hasil petani.
Beliau berkata, FAMA memainkan peranan membeli hasil pertanian petani yang terjejas dan memasarkannya ke seluruh negara sampai ke tangan pengguna secepat mungkin.
“FAMA juga membantu petani mencari pembeli sendiri dengan cara mengatur pertemuan mereka dengan pemain-pemain industri yang berpotensi untuk membeli hasil tanaman masing-masing,” katanya.
Tambahnya, mana-mana golongan petani yang menghadapi masalah pemasaran hasil boleh menghubungi FAMA daerah dan negeri.
“FAMA mempunyai skuad khas bagi membantu petani memasarkan produk pertanian terus kepada pengguna. Petani juga digalakkan memasarkan hasil pertanian melalui medium media sosial berikutan ada 25 juta akaun facebook di negara ini,” katanya.