PETALING JAYA: Sebanyak 152 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 10 hingga 21 Jun lalu kerana terlibat dalam pertaruhan bola sepak Euro 2020.
Penahanan kesemua individu tersebut dilakukan hasil 107 serbuan yang dilakuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi operasi khas Op Soga Viii.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, hasil serbuan itu, sebanyak RM115,132,000 wang hasil pertaruhan telah dirampas selain had kredit pertaruhan sebanyak RM11.6 juta daripada rekod pertaruhan individu dan sindiket tertentu.
Kata beliau, turut dirampas adalah pelbagai peralatan peranti elektronik yang digunakan untuk aktiviti pertaruhan itu seperti 24 set komputer, komputer riba (11), unit tablet (satu).
“Turut dirampas iaitu 166 unit telefon bimbit, moderm (12), router (lapan) mesin kira-kira (lima) dan pencetak (dua).
“Selain itu, sebanyak 115 bentuk simkad, jadual perlawanan euro 2020 (sembilan keping), catatan atau buku yang mengandungi pertaruhan ke atas perlawanan bola sepak (43 keping),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Abdul Jalil, fokus utama operasi ini untuk mencegah dan membanteras kegiatan pertaruhan haram sempena kejohanan bola sepak ini yang mana terdapat individu bertindak sebagai ‘bookie’ dan juga tempat yang menjalankan pertaruhan judi dan tindakan akan diambil dibawah peruntukan undang-undang Akta pertaruhan 1953.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menentukan kejayaan Op Soga Viii kali ini yang masih berbaki lebih kurang 20 hari lagi. Modus operandi kaliini agak berbeza daripada pengalaman sebelum ini memandangkan kebanyakan sindiket menggunakan secara dalam talian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Namun begitu, Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bukit Aman dan seluruh Jabatan Siasatan Jenayah di Kontinjen akan melipat gandakan usaha dalam pemantauan dan pencegahan ke atas kegiatan catit taruh haram sempena kejohanan bola sepak ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai diminta dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi bersama membanteras kegiatan yang tidak bermoral itu. – UTUSAN ONLINE