PUTRAJAYA: Sebanyak empat perkampungan di Mersing, Johor antara 14 lokaliti di negara ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa ini dengan 54 kes positif Covid-19 direkodkan di Mukim Tenglu itu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datuk.
Beliau berkata, perintah sama sehingga 5 Julai ini turut dikenakan ke atas lima taman perumahan di Mentakab, Temerloh, Pahang membabitkan Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.
“Lima lokaliti di Sabah juga dikenakan PKPD antaranya di Kampung Skim Pamalan, Keningau, Bahagian Pedalaman; tiga lokaliti di Bahagian Tawau iaitu Kampung Jaya Baru, Kunak; Ladang Brumas, Kalabakan dan Kampung Serundung Baru serta Taman Wijaya, Kota Kinabalu, Bahagian Pantai Barat.
“Bagaimanapun, satu lokaliti di negeri itu yang sepatutnya tamat PKPD pada esok, disambung lagi selama 14 hari iaitu di Kampung Pulutan, Nabawan, Bahagian Pedalaman,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Namun Ismail Sabri memaklumkan, satu lokaliti di bahagian sama, ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan iaitu di Kampung Murni C selain Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson, Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat.
Tidak ketinggalan ialah Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Bahagian Tawau; Apartment Taman Permata, Bahagian Sandakan dan Kampung Ongkilan, Kota Marudu, Bahagian Kudat.
Di Pahang pula tambah beliau, empat lokaliti di Daerah Kuantan turut ditamatkan PKPD esok mengikut jadual antaranya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng; Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading yang sudah merekodkan 158 kes positif Covid-19.