Khairuddin gagal rujuk empat persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Khairuddin gagal rujuk empat persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Bekas Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal merujuk empat persoalan undang-undang berhubung Proklamasi Darurat, ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan berhubung keabsahan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengekang penularan Covid-19, awal tahun ini.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan tersebut tanpa kos kemudian menetapkan 24 Ogos ini bagi mendengar permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Khairuddin selaku plaintif.

Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili plaintif dan Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S. Narkunavathy yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan-defendan.

Muhammad Rafique berhujah, keempat-empat persoalan itu adalah kabur dan perlu dirujuk dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Beliau berhujah, ini kerana persoalan undang-undang itu merupakan kali pertama dibangkitkan dan tiada keputusan duluan (precedent) pernah diumumkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini. 

Hujahnya, isu yang menjadi tunjang kepada pertikaian dalam saman pemula itu adalah berkaitan keabsahan nasihat defendan pertama kepada Yang di-Pertuan Agong yang mana ketika itu beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Hujah beliau, persoalan bahawa seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, menasihati Seri Paduka bagi satu Proklamasi Darurat, belum pernah dibangitkan dalam sejarah negara (unprecedented). 

Muhammad Rafique berhujah, penentuan keperlembagaan di Mahkamah Persekutuan akan membawa kepada penyelesaian muktamad dengan cepat bagi melupuskan saman pemula sebelum Proklamasi Darurat tamat selewat-lewatnya 1 Ogos ini.

Hujah beliau, permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan jika tidak dibenarkan akan memprejudiskan hak plaintif untuk mendapat tafsiran perlembagaan kerana isu akan  akan menjadi akademik jika Proklamasi Darurat ditamatkan sebelum 1 Ogos.

Sementara itu, Narkunavathy berhujah, perkara itu tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan kerana Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa mentafsir isu-isu perlembagaan yang dibangkitkan.

Hujah beliau, Mahkamah Persekutuan merupakan peringkat paling akhir bagi menjawab dan memutuskan isu-isu perlembagaan selain berfungsi sebagai mahkamah terakhir untuk mendengar rayuan berhubung persoalan undang-undang.

Hujah beliau, Mahkamah Tinggi pada asasnya perlu mendengar dan memutuskan isu perlembagaan yang dibangkitkan terlebih dahulu. 

Hujahnya, permohonan mengikut  Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak sepatutnya dilaksanakan secara automatik dalam setiap permohoan kerana ia hanya sesuai untuk kes-kes istimewa yang perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

 Sehubungan itu, Narkunavathy berhujah,  bidang kuasa asalnya merupakan hak eksklusif Mahkamah Persekutuan, jadi syarat yang ketat perlu dipatuhi bagi memastikan Seksyen 84 tidak disalahguna.

Hujah beliau, permohonan rujukan di bawah Lampiran 13 itu tidak lebih daripada percubaan tersembunyi sebagai jalan pintas terhadap proses undang-undang secara normal yang akan menghalang proses rayuan ke peringkat tertinggi.

Hujahnya, selain itu persoalan sama ada defendan pertama telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat belum tentukan oleh mana-mana forum.

Oleh yang demikian, beliau berhujah, keempat-empat persoalan undang-undang itu bukan kes istimewa yang memerlukannya dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 18 Januari lalu, bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu selaku plaintif mencabar tindakan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat yang didakwanya tidak sah dan tidak  berperlembagaan.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini  sebagai langkah proaktifmembendung wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya