LUMUT: Sebanyak 1,300 kilogram ikan kembung diagihkan kepada 1,300 keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah Manjung sebagai usaha mengurangkan beban belanja dapur golongan tersebut.
Inisiatif dilakukan Kelab Berbasikal Manjung Perak (KBM) itu memberi manfaat kepada penduduk yang tinggal di 28 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah berkenaan.
Pengerusi KBM, Shahrul Nazmie Sharudin berkata, bekalan ikan diperoleh daripada peraih di Pantai Remis menggunakan dana Tabung Covid-19 kelab itu hasil sumbangan ahli kelab, orang ramai, TNB Janamanjung Sdn. Bhd. (TNB Janamanjung) dan UMNO Bahagian Lumut.
“Semua sumbangan diserahkan kepada Ketua KRT setiap kampung dan taman perumahan, yang kemudian menyerahkannya kepada penerima terlibat dengan setiap keluarga menerima bekalan satu kilogram ikan.
“Sumbangan ini diharap mengurangkan beban belanja dapur keluarga terlibat, walaupun tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya untuk tempoh antara dua hingga tiga hari,” katanya kepada pemberita ketika melakukan proses pembungkusan ikan tersebut bersama ahli KBM dan Pemuda UMNO Bahagian Lumut di Seri Manjung hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan TNB Janamanjung yang juga Ahli Kehormat KBM, Datuk Shamsul Ahmad dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Manjung, Ahmad Firdaus Zainal Abidin.
Menurut Shahrul Nazmie, inisiatif itu pada mulanya dilakukan untuk membantu ahli KBM yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu dan kemudian diperluaskan kepada golongan memerlukan apabila mendapat permintaan daripada pihak terbabit.
“Program ini kemudian diteruskan menerusi fasa kedua pada 11 Jun lalu dan diteruskan lagi hari ini dengan lebih 3,500 keluarga mendapat manfaat daripadanya.
“Jika ada lagi sumbangan disalurkan ke Tabung Covid-19 BKM, kami akan meneruskan program ini bagi fasa keempat pula,” katanya.