PETALING JAYA: Polis memanggil 11 individu bagi membantu siasatan berhubung penularan hantaran aplikasi WhatsApp mengenai penahanan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali di Perasing, Terengganu pada 28 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan Unit Jabatan Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) susulan penularan hantaran yang mendapat 9,300 perkongsian selain memaparkan gambar menteri tersebut bersama seorang wanita.
Kata beliau, kesemua percakapan dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran tersebut selain merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, tegas Abdul Jalil, sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Bukit Aman dilaporkan membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan yang berlaku ketika menteri itu melalui sekatan jalan raya (SJR).
Kertas inkuiri dibuka terlebih dahulu bagi memastikan sama ada berlaku kesalahan dalam kejadian berkenaan.
Siasatan juga dilakukan bertujuan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di SJR itu.
Isu Khairuddin diperiksa di SJR Perasing kecoh di media sosial apabila ia didakwa ditahan bersama usahawan tudung yang juga bekas isteri seorang selebriti pada 16 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE