PETALING JAYA: Sebanyak 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara kini terumbang-ambing berikutan penutupan sekolah sehingga Julai ini.
Ini sekali gus memaksa mereka menutup operasi perniagaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Hamzah Omar berkata, pandemik Covid-19 membawa kesan domino apabila terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos.
Katanya, meskipun dapat beroperasi dalam tempoh singkat ketika pembukaan sekolah awal tahun ini, namun, ia tidak cukup untuk menampung kos operasi khususnya gaji pekerja.
“Boleh dikatakan semua pengusaha nyawa-nyawa ikan kerana terjejas teruk apabila tiada langsung pendapatan. Beban ini tidak termasuk hutang pinjaman bank.
“Kesannya, bukan kami pengusaha kantin sahaja, tetapi pekerja dan ahli keluarga masing-masing. Bayangkan tidak dapat bekerja, bagaimana hendak menampung kehidupan harian keluarga,” katanya.
Jelasnya, situasi sukar yang berlarutan setahun lebih itu menyebabkan terdapat pengusaha kantin ‘gulung tikar’.
Katanya, meskipun terdapat pengusaha mengambil inisiatif menjalankan perniagaan lain, namun pendapatan hanya cukup makan.
Dalam pada itu, Hamzah merayu Kementerian Pendidikan memberikan pengecualian sewa premis kantin hingga ke hujung tahun ini dan melanjutkan tempoh tender sehingga tahun depan.