PUTRAJAYA: Dua perkampungan di Sarawak antara 10 lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak mulai Khamis hingga 30 Jun ekoran 46 kes positif direkodkan melibatkan Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas, Kuching.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lapan lokaliti lain ialah di sekitar Sabah antaranya Projek Perumahan Rakyat Taman Ehsan, Kudat; tiga lokaliti di Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud serta Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil, Kota Kinabalu.
Katanya, baki empat lokaliti di Tawau iaitu Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah serta Kampung Rancangan dan Kampung Kijai Merotai, Kalabakan.
“Hanya PKPD di Kampung Simpangan, Tuaran yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan lagi sehingga akhir bulan ini, bagaimanapun PKPD melibatkan tujuh lokaliti di negeri itu tamat serentak esok antaranya Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau, Kota Belud.
“Begitu juga PKPD di Kampung Sugud, Penampang di bahagian sama yang dijadual tamat pada Jumaat ini namun diawalkan kepada esok ekoran penurunan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, tidak ketinggalan berakhir PKPD lebih awal ialah dua lokaliti di Sandakan iaitu di Lorong 5, 6, 7 dan 8, Taman Utama serta Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9 Fasa 7, Taman Mawar selain Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu.
Sementara itu katanya, PKPD yang meliputi tiga perkampungan di Mukim Lekir, Manjung, Perak juga berakhir awal esok berbanding sepatutnya Sabtu ini membabitkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 Lekir dan Kampung Sungai Lombong termasuk Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 854 individu dicekup dengan seramai 819 dikompaun manakala 35 lagi direman.
“Kesalahan tertinggi tidak memakai pelitup muka sebanyak 196 kes diikuti merentas kawasan dan makan di premis dengan 173 kes, gagal merekod butiran di premis (145), tiada jarak fizikal (98), tidak patuh arahan PKP (83), membawa penumpang berlebihan (65), aktiviti pusat hiburan (32) dan lain-lain (62),” katanya.
Katanya, seramai 14 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan dua kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain sebanyak 171 buah bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.
Beliau memberitahu, seramai 260 individu diarah kuarantin wajib sebaik tiba di negara ini bersama sejumlah 8,024 individu masih berada di pusat kuarantin seluruh negara.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 586 peruncit, 157 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,742 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya sebanyak 24 premis yang terlibat dikenakan kompaun.
Beliau juga mengesahkan seorang daripada 74 pekerja asing disahkan positif Covid-19 setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia.