10 kilang di Perak diarah tutup sejak 1 Jun - Utusan Malaysia

10 kilang di Perak diarah tutup sejak 1 Jun

MIOR  Faridalathrash Wahid memeriksa aplikasi MySejahtera seorang pekerja kilang dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Covid-19 di Taiping, Perak,  hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sebanyak 10 buah kilang di Perak diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan tutup itu melibatkan tiga kilang di Tapah, dua kilang di Taiping dan Ipoh manakala sebuah kilang masing-masing di Batu Gajah, Hilir Perak dan Sungai Siput.

Katanya, tindakan itu diambil setelah pemeriksaan dilakukan terhadap 4,685 buah kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian di seluruh negeri.

“Dalam tempoh sama, kita turut mengeluarkan 28 kompaun atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping selepas menyertai Op Covid-19: Pasukan Pemantau SOP di kilang-kilang di daerah ini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mior Farid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang yang didapati melakukan kesalahan berulang termasuk diarah tutup operasi.

Katanya, pasukan pemantau juga akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kilang tersebut beroperasi dengan mematuhi SOP sepenuhnya.

“Di Perak, selain pasukan pemantau yang ditubuhkan di setiap IPD, kita juga menubuhkan pasukan pemantau bersepadu berpusat di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Untuk pasukan itu, kita sasarkan kilang-kilang yang mempunyai aduan tinggi daripada orang ramai, maklumat itu ada yang mengatakan kilang-kilang ini melakukan kesalahan-kesalahan tertentu.

“Jadi kita akan turun untuk pastikan kebenaran maklumat disampaikan sebelum mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya