BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas kira-kira 1.3 tan metrik minyak masak dalam pek satu kilogram (kg) bernilai RM3,400 dalam serbuan di sebuah premis Jalan Dato Ooh Chooi Cheng di sini semalam.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu dibuat selepas risikan dijalankan selama tiga bulan susulan aduan awam yang diterima pihaknya sebelum ini.
“Hasil serbuan yang dilakukan oleh empat penguat kuasa KPDNHEP negeri itu mendapati terdapat aktiviti yang menjadi kesalahan iaitu menyimpan minyak masak bersubsidi 1kg dalam sebuah stor yang tidak dilesenkan.
“Dalam serbuan itu, mereka turut merakam percakapan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Ridzuan memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula jelasnya, denda yang dikenakan adalah tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan para peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual supaya mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh kementerian.
Katanya, para peniaga juga diingatkan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan tegas.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan terus kepada KPDNHEP negeri menerusi talian 04-3840245 (bilik gerakan), portal e-aduan dalam laman sesawang KPDNHEP, aplikasi Whatsapp KPDNHEP di nombor 019-2794317 atau hadir sendiri ke mana-mana daripada 73 buah pejabat KPDNHEP berdekatan di seluruh negara.