Wartawan jadi saksi bicara kes Muhammad Shafee - Utusan Malaysia

Wartawan jadi saksi bicara kes Muhammad Shafee

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa menerima kenyataan akhbar peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berbentuk PDF berkaitan wang RM9.5 juta.

Menurut wartawan Malay Mail, Lim Lee Ting, 32, dia menerima kenyataan bertajuk ‘Press Statement Of Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah Pertaining To The RM9.5 milion’ mengandungi enam muka surat daripada peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee pada 8 September 2019.

Saksi ketiga pendakwaan itu memaklumkan kemudian menghantar kenyataan berkenaan kepada pengarang kerana percaya datang daripada Muhammad Farhan selaku sumber kredibiliti di samping adalah anak tertuduh.

“Di samping itu, isi kandungannya adalah berkaitan dengan berita semasa. Dua hari sebelum itu, Malay Mail telah menerbitkan laporan berita berkaitan dengan isu sama.

“Kenyataan diberi Muhammad Farhan itu adalah relevan untuk laporan berita disebabkan individu-individu dan parti-parti dinamakan seperti Tan Sri Shafee, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN (Barisan Nasional) dan UMNO.

“Saya kemudian menulis laporan berita berdasarkan kenyataan media tersebut dan telah hantar laporan berita yang saya tulis kepada pengarang untuk semakan dan seterusnya diterbit di laman web Malay Mail pada hari sama.

“Sebanyak empat laporan berita yang saya tulis telah terbit dalam portal Malay Mail. Selepas penerbitan, tiada siapa menghubungi saya untuk meminta pembetulan dibuat ke atas berita tersebut,” katanya dalam pernyataan saksi.

Lee Ting menjelaskan semua laporan berita itu antaranya menyatakan Muhammad Shafee mendakwanya menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan bayaran pendakwaan kes liwat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, laporan itu telah menyebut tertuduh mendakwa menerima bayaran tersebut untuk fil guaman berkaitan 46 petisyen pilihan raya yang melibatkan BN dan UMNO bagi tahun 2004 dan 2006.

“Beberapa hari kemudian, saya mengetahui laporan berita bahawa Tan Sri Shafee (Muhammad Shafee) telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan isu RM9.5 juta,” jelasnya.

Wanita itu menjelaskannya telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian satu perjumpaan diatur di pejabat Malay Mail pada 30 Oktober 2018.

Ujarnya, dia diminta membandingkan dan mengesahkan kenyataan media diterimanya daripada Muhammad Farhan dan versi kenyataan ditunjukkan SPRM.

“Selepas membuat perbandingan terhadap kedua-dua kenyataan itu, saya dapati kandungan kenyataan media ini adalah kebanyakan adalah sama,” katanya.

Muhammad Shafee kini dibicarakan atas tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy manakala tertuduh diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 4 Jun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN