PETALING JAYA: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak melakukan imbasan MySejahtera ketika menghadiri satu majlis di Kuala Triang, Langkawi baru-baru ini.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan dibuat berdasarkan satu video tular menunjukkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu tidak mengimbas MySejahtera ketika hadir sebuah majlis pada 8 Mei lalu.
“Hasil siasatan mendapati beliau hadir ke satu majlis di Surau Raudhatul Jannah, Kuala Teriang di sini pada pagi Sabtu lalu.
“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan)2021,” katanya.