Tujuh peniaga didakwa miliki rokok, arak seludup - Utusan Malaysia

Tujuh peniaga didakwa miliki rokok, arak seludup

TUJUH tertuduh termasuk dua wanita diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, Melaka hari ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh peniaga termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki rokok dan arak seludup bernilai lebih RM50,000.

Kesemua tertuduh, Kua Kit Seong, 33; Peter Tan, 32; Aaron Lee, 21; Loy Teck Weng, 33; Yong Pak Ting, 37; Medina Begam Mohamad, 44, dan Lim Ying Siew, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara bersaingan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki barangan larangan import iaitu pelbagai jenis rokok dan minuman alkohol bernilai keseluruhan RM55,882.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara 13 November 2018 hingga 31 Disember 2020.

Bagi kesalahan tersebut, setiap tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1957 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (v) (aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM50,000.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli yang mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada setiap enam tertuduh, manakala RM15,000 terhadap Teck Weng.

Peguam Amritpal Singh yang hanya mewakili Medina, Teck Weng dan Pak Ting bagaimanapun memohon jaminan tersebut dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 26 Julai depan sebagai sebutan semula terhadap Kit Seong, Peter, Aaron dan Ying Siew.

Sebutan semula bagi Teck Weng dan Pak Ting pula ditetapkan pada tarikh 16 Julai, manakala Medina 15 Julai ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya