KUANTAN: Polis menahan tujuh lelaki dipercayai sedang mencuri mesin bitcoin bernilai RM50,000 berhampiran premis perniagaan di kawasan Sungai Karang Pantai dekat sini, kira-kira pukul 3 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua suspek yang ditangkap berusia antara 22 tahun hingga 37 tahun dan merupakan warga tempatan.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Beserah sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sekumpulan lelaki berkenaan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan mereka sedang mengangkat peralatan mesin bitcoin ke dalam lori. Hasil penahanan itu juga mendapati mereka turut terlibat dalam kegiatan pecah bangunan yang dijadikan tempat melombong bitcoin sebelum meneruskan aktiviti pencurian peralatan tersebut.
“Ketika pemeriksaan dan tangkapan dilakukan oleh tujuh anggota yang bertugas ketika itu, tiada pergelutan berlaku malahan mereka hanya tergamam dengan situasi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mohamad Noor berkata, hasil tangkapan polis merampas 66 unit mesin bitcoin, peralatan pecah rumah dan menyita sebuah lori dan kereta jenis Wira Aeroback.
“Kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap malah mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan narkotik. Kini mereka direman untuk membantu siasatan termasuk berkaitan premis dan pusat lombongan bitcoin tersebut sehingga 22 Mei ini.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan dan Seksyen 28 (1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki peralatan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan enam bulan atau denda,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa ekoran daripada kejadian itu kesemua suspek didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan mereka dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang. – UTUSAN