PETALING JAYA: Beberapa penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dipercayai cedera selepas insiden melibatkan dua tren di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru dekat sini tadi.
Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, insiden itu melibatkan tren bernombor 40 dan 81.
Kata kenyataan itu, pasukannya sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat.
“Orang ramai diminta bertenang dan patuhi segala arahan.
“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, maklumat awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat brek mengejut.
“Bukan berlanggar jadi yang tak pegang terjatuh. Bagaimanapun maklumat lengkap akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan keadaan panik melibatkan penumpang dalam sebuah tren.
Malah, terlihat beberapa individu dalam keadaan cedera akibat insiden tersebut. – UTUSAN ONLINE