Total lockdown: Operasi mahkamah bagi prosiding tertentu tidak terjejas

Total lockdown: Operasi mahkamah bagi prosiding tertentu tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan kehakiman mengumumkan operasi mahkamah di seluruh negara bagi prosiding tertentu tidak terjejas ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh (total lockdown) fasa pertama berkuat kuasa esok.

Pengendalian kes yang memerlukan kehadiran secara fizikal di mahkamah iaitu pertuduhan baharu, permohonan perintah reman dan permohonan perintah jenayah, berjalan seperti biasa.

Bagi permohonan jenayah di mahkamah atasan (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) yang memerlukan kehadiran secara fizikal, tertakluk kepada budi bicara mahkamah atas sebab-sebab khas dan keadaan tertentu.

Arahan itu dikeluarkan melalui kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya ekoran pengumuman Pejabat Perdana Menteri, Sabtu lalu.

Tatacara pengendalian kes itu atas arahan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Arahan tersebut bagaimanapun menetapkan semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah secara kehadiran fizikal ke mahkamah ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Antara kes berstatus kepentingan awam di Mahkamah Tinggi di sini termasuk perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadualkan membela diri selama sembilan hari bermula 9 Jun ini.

Mahkamah Sesyen di sini pula menetapkan 8 Jun ini bagi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Pendengaran kes-kes sivil pula dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh manakala pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid tidak terpakai.

Kenyataan itu turut menjelaskan, agensi kerajaan, peguam dan orang awam boleh memohon penangguhan kes jika mempunyai kesukaran meneruskan perbicaraan kerana dikhuatiri menjejaskan hak mendapatkan perbicaraan yang adil melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Arahan ini mengatasi kesemua arahan terdahulu yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 17 Mac, 26 Mac dan 24 April tahun lalu.

“Arahan ini hendaklah terpakai jika kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan pelaksanaan lockdown tertakluk kepada arahan baharu yang dikeluarkan,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemfailan baharu bagi kes-kes sivil, jenayah dan notis rayuan turut dilaksanakan seperti biasa melalui sistem aplikasi mahkamah.

Kenyataan itu juga menyebut, pengurusan kes sivil dan jenayah perlu dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Kata kenyataan tersebut, mahkamah akan memberikan arahan lanjut kepada pihak-pihak yang memfailkan perakuan segera bagi kes-kes sivil dan jenayah.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada Bahagian Komunikasi Korporat di talian 03-88804051 atau 03-88804607.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, pejabat itu turut mengumumkan bahawa sistem notifikasi melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) diwujudkan bagi menyalurkan tarikh pendengaran kes sivil di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, bermula esok.

Pemfail dokumen perlu mengemaskini profil dalam sistem e-Filing (EFS) dengan memasukkan nombor telefon bimbit sebelum meneruskan pemfailan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN