Tikam bekas abang ipar, penganggur berdepan tali gantung 

Tikam bekas abang ipar, penganggur berdepan tali gantung 

MOHD. Amin Mohamad diiringi anggota polis ketika dihadapkan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas abang iparnya pada 1 Syawal lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Amin Mohamad, 32, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Hanafiah Hanafi, 36, antara pukul 7 hingga 7.30 pagi di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai dalam daerah Jasin pada 13 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili Peguam  Mohan Singh. 

Dalam pada itu, di mahkamah berasingan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pula tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Hashimah Hanafi, 32, dengan menggunakan rotan dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu. 

Mohd. Amin turut didakwa melakukan perkara sama terhadap dua anak perempuannya masing-masing berusia 10 serta lapan tahun dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Kesemua tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Permatang Pasir, Alai pada 5 Disember dan 15 Disember tahun lalu. 

Selain itu, tertuduh juga didakwa telah memukul seorang lelaki, Mah Azrul Mah Hussin, 39, menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali sehingga menyebabkan mangsa patah rahang kanan pada 11 Mei lalu. 

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikuti Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. 

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan tersebut. 

Mahkamah kemudian bersetuju menetapkan tarikh 16 Julai depan sebagai sebutan semula bagi kesemua pertuduhan dan serahan laporan kimia. 

Utusan Malaysia pada 13 Mei lalu melaporkan, seorang lelaki maut selepas ditikam bekas adik ipar yang mengamuk gara-gara ingin mengambil dua orang anak perempuannya di Jalan Berangan Enam, Umbai di sini. 

Mangsa ditikam selepas cuba menenangkan suspek yang datang ke rumah keluarganya dalam keadaan mengamuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN