KLANG: Tindakan tiga rakan memproses dan menjual ketum sejak tahun lalu menemui padah apabila mereka ditahan di hadapan sebuah pondok di Kampung Perepat, Batu 10 Jalan Kapar di sini, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan bersama 30 botol air ketum.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya menahan kesemua individu terbabit kira-kira pukul 12.40 pagi.
Menurut beliau, penahanan mereka adalah hasil maklumat orang awam mengatakan berlaku aktiviti pemprosesan dan penjualan ketum di kawasan tersebut.
“Ketika serbuan, ketiga-tiga lelaki ini berada dalam keadaan mencurigakan di pondok tersebut. Pemeriksaan menemukan 30 botol dengan kapasiti 1.5 liter setiap satu.
“Selain itu, kita turut merampas peralatan memproses air ketum. Siasatan awal mendapati mereka menjual ketum ini di sekitar kawasan tersebut pada harga RM20 sebotol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nurulhuda, hasil semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua mereka kini ditahan reman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. – UTUSAN