KUALA TERENGGANU: Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berbeza di perairan Kuala Terengganu di sini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kejadian pertama membabitkan sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama dua kru termasuk tekong yang dipercayai mengalami kerosakan selepas terputus hubungan sejak semalam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat Jaafar Sulong, 66, dan seorang kru dikenali sebagai Baharuddin, 30-an itu diaktifkan kira-kira pukul 9.40 pagi ini.
“Mangsa sepatutnya pulang semalam dan cubaan ahli keluarga menghubungi mereka juga gagal.
“Dalam kejadian berbeza, Wan Mohd. Sufian Wan Abdul Rahman, 34, pula disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya menggerakkan KM Gemia, bot Pengawal 16 dan pesawat udara AW139 bagi mengesan kedudukan bot dan mangsa.
Katanya, operasi berkenaan turut menerima bantuan aset daripada Jabatan Perikanan dan nelayan setempat.
Menurutnya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Terengganu (09-6224357). – UTUSAN